KUALA LUMPUR, 23 Mei 2025 – Majlis Kelab Bell Belia Tamil Malaysia (MKBBT) tampil menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Majlis Belia Malaysia (MBM) yang menolak cadangan menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun.
Presidennya, Sdr. Murugan Maniam, menegaskan langkah tersebut akan menjejaskan masa depan generasi muda, yang kini sudah pun bergelut dengan isu pengangguran dan kekurangan peluang pekerjaan berkualiti.
“Kami tidak menolak kepentingan pengalaman warga kerja senior, tetapi kita tidak boleh nafikan hak generasi muda untuk memulakan kehidupan dan kerjaya,” tegas beliau.
Menurut Murugan, peningkatan umur persaraan dari 55 ke 60 tahun pada 2013 pernah dikaitkan dengan kehilangan hampir sejuta peluang pekerjaan baharu. Hari ini, Malaysia melahirkan lebih 300,000 graduan setiap tahun, dan ramai di antaranya masih terumbang-ambing mencari pekerjaan tetap.
“Kalau yang lama kekal bekerja, bila masa yang muda boleh masuk dan menyumbang dalam ekonomi negara? Ini bukan soal usia, ini soal keadilan antara generasi,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap tekanan kewangan yang bakal ditanggung majikan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sekiranya terpaksa menanggung kos gaji dan caruman KWSP pekerja senior untuk tempoh lebih lama.
“Syarikat kecil adalah tulang belakang ekonomi dan majikan utama kepada ramai belia . Jika mereka terbeban, yang muda akan terus tersisih,” ujarnya.
MKBBT juga menekankan bahawa tidak semua warga emas berada dalam kondisi fizikal yang sesuai untuk terus bekerja secara aktif. Malah, laporan WHO menunjukkan satu daripada tiga individu berumur lebih 60 tahun menghadapi cabaran kesihatan kronik seperti jantung dan diabetes.
“Dasar seperti ini mesti realistik, bukan hanya berpaksikan pengalaman profesional segelintir pihak. Suara belia – – mesti diberi tempat dalam keputusan sebegini,” tambahnya.
Sebagai penutup, MKBBT menyeru kerajaan untuk fokus kepada penciptaan pekerjaan baharu, pelaburan dalam peningkatan kemahiran belia, dan peralihan tenaga kerja yang adil.
“Kami akan terus menjadi suara lantang untuk belia dan seluruh generasi muda Malaysia. Jangan korbankan masa depan kami atas nama pengalaman,” tegas Murugan.