KUALA LUMPUR, 23 Mei 2025 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kemajuan teknologi dan ekonomi negara tidak harus menjadi alasan untuk meminggirkan penggunaan bahasa kebangsaan, sebaliknya penguasaan bahasa Melayu perlu dijadikan teras dalam pembangunan negara.
Berucap di Majlis Pelancaran Hadiah Bahasa Public Bank-Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini, beliau memberi contoh negara-negara maju seperti China, Rusia dan Jepun yang berjaya mengangkat ekonomi dan teknologi mereka tanpa mengabaikan bahasa dan budaya sendiri.
“Adalah satu kesilapan besar jika kita mengejar pembangunan dan perubahan dengan meremehkan bahasa kebangsaan. Tidak ada negara hebat yang meninggalkan bahasa dan sastera mereka,” tegas beliau.
Anwar turut menyatakan sokongan terhadap usaha menghidupkan semula Hadiah Bahasa oleh Public Bank dan DBP, menyifatkannya sebagai langkah berani dalam memperkukuh jati diri dan warisan bangsa.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) agar terus mempertahankan peranan bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan negara meskipun diasak dengan desakan untuk mengutamakan bahasa asing.
“Kita harus menggapai langit – menguasai teknologi, istilah digital – tetapi jangan sesekali lupa untuk mengakar ke bumi dengan akhlak dan budaya. Itulah asas sebenar tamadun dan maruah bangsa,” ujarnya penuh semangat.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh para sasterawan, pendidik dan tokoh bahasa yang menyokong penuh seruan Perdana Menteri dalam menjadikan bahasa kebangsaan sebagai tunjang kemajuan negara.