PETALING JAYA, 28 Mei 2025 – Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menjelaskan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bahau, Teo Kok Seong dari DAP, ke Taklimat Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan pada 20 Mei lalu adalah atas titah dan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Menurut MAINS, kehadiran exco bukan Islam itu bertujuan memberi kefahaman yang lebih luas mengenai pentadbiran Islam di Negeri Sembilan kepada semua lapisan masyarakat, termasuk wakil rakyat bukan Islam.
“Kehadiran ini atas titah dan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bertujuan mendedahkan serta membuka kefahaman mengenai pentadbiran Islam di Negeri Sembilan,” kata kenyataan MAINS .
Gambar Teo Kok Seong yang mengenakan songkok ketika menghadiri taklimat tersebut tular di media sosial sejak beberapa hari lalu, mencetuskan pelbagai reaksi.
MAINS turut memaklumkan bahawa taklimat itu turut membentangkan pencapaian institusi agama negeri, termasuk usaha pemerkasaan pendidikan Islam serta inisiatif pendigitalan sistem pentadbiran Islam di Negeri Sembilan.
Tambah MAINS lagi, pendekatan inklusif ini bukan pertama kali dilaksanakan. Satu lagi sesi taklimat serupa yang diadakan pada 8 Oktober 2024 turut dihadiri oleh Adun kerajaan dan pembangkang, termasuk wakil rakyat bukan Islam.
“Pendekatan ini membuktikan komitmen MAINS terhadap tadbir urus Islam yang progresif, inklusif, dan selari dengan aspirasi perpaduan serta kemajuan bersama semua rakyat,” kata kenyataan itu lagi.
Kehadiran wakil rakyat bukan Islam dalam sesi seperti ini dilihat sebagai langkah memperkukuh kefahaman antara kaum dan agama, serta menyokong nilai keterangkuman dalam pentadbiran agama di negeri ini.