Sebanyak 25% pekerjaan di seluruh dunia berpotensi terdedah kepada ancaman kecerdasan buatan generatif (GenAI), menurut laporan terbaharu hasil kerjasama antara Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Institut Penyelidikan Kebangsaan Poland.
Kajian yang diberi judul “Generative AI and Jobs: A Refined Global Index of Occupational Exposure” ini dikatakan sebagai penilaian global paling komprehensif setakat ini mengenai bagaimana teknologi GenAI mampu mengubah lanskap pasaran buruh global.
Laporan tersebut menyatakan bahawa pekerjaan perkeranian dan bidang kognitif seperti media, pembangunan perisian dan kewangan berada dalam kategori berisiko tinggi. Ini kerana GenAI mempunyai keupayaan mengautomasikan tugasan seperti kemasukan data, pengurusan maklumat, dan proses pentadbiran yang secara tradisional memerlukan campur tangan manusia.
“Kami melangkaui teori dengan membina alat berasaskan pekerjaan sebenar,” kata Pawel Gmyrek, Penyelidik Kanan ILO merangkap pengarang utama laporan tersebut.
“Dengan menggabungkan pandangan manusia, semakan pakar dan model GenAI, kami mencipta kaedah boleh diguna pakai semula bagi membantu negara menilai risiko dan bertindak balas dengan tepat.”
Kadar pendedahan kepada GenAI meningkat kepada 34% di negara berpendapatan tinggi, berbanding 25% kadar purata global — satu petunjuk kepada tahap integrasi digital yang lebih mendalam di negara-negara maju.
Laporan itu turut memperkenalkan “indeks pendedahan pekerjaan”, yang membabitkan analisis hampir 30,000 tugas pekerjaan, menggunakan gabungan “skor AI”, penilaian pakar serta data buruh ILO untuk menilai tahap keterdedahan sektor-sektor pekerjaan mengikut negara dan industri.
Jurang jantina turut dikenal pasti. Di negara berpendapatan tinggi, sebanyak 9.6% wanita bekerja dalam pekerjaan berisiko tinggi untuk diautomasi, berbanding hanya 3.5% lelaki — memperlihatkan keperluan pendekatan khusus bagi menangani kesan AI terhadap pekerja wanita.
Walaupun teknologi GenAI dijangka mampu meningkatkan produktiviti, laporan itu menekankan bahawa kesan sebenar terhadap pasaran kerja sangat bergantung kepada beberapa faktor seperti kadar penerimaan teknologi, kemudahan infrastruktur digital dan tahap kemahiran tenaga kerja.
Sebagai langkah ke hadapan, ILO menggesa agar kerajaan, majikan dan kesatuan sekerja memainkan peranan aktif melalui dialog sosial, memperkenalkan dasar perlindungan pekerja, serta merangka pelan peningkatan kemahiran dan peralihan adil di sektor-sektor yang terdedah.
Kajian ini turut selari dengan penilaian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang diterbitkan pada awal 2024, yang menjangkakan sehingga 40% pekerjaan di seluruh dunia akan dipengaruhi AI, dengan negara maju paling terkesan.
“AI bukan sekadar teknologi. Ia adalah cabaran dasar yang memerlukan kerjasama merentas sektor dan negara,” tegas laporan itu.