SHAH ALAM, 23 Mei 2025 – Majlis Belia Malaysia (MBM) secara tegas menolak cadangan untuk menaikkan had umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun kerana bimbang langkah itu akan memberi kesan negatif terhadap peluang pekerjaan dan pembangunan belia di negara ini.
Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, berkata pengalaman lepas sudah membuktikan kesan negatif apabila had umur persaraan dinaikkan daripada 55 kepada 60 tahun pada tahun 2013, yang dikaitkan dengan kehilangan hampir sejuta peluang pekerjaan baharu khususnya kepada graduan dan pencari kerja muda.
“MBM menolak cadangan tersebut kerana dalam konteks semasa, Malaysia melahirkan lebih 300,000 graduan setiap tahun dan ramai daripada mereka masih bergelut mendapatkan pekerjaan tetap,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Menurut beliau, melanjutkan umur persaraan akan memanjangkan lagi tanggungan kos gaji pekerja yang lebih senior dan memberi tekanan kepada sistem caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Kita tidak boleh mengabaikan implikasi kewangan terhadap majikan dan ekonomi secara keseluruhan, apatah lagi apabila kadar pengangguran belia masih berada pada tahap yang membimbangkan,” tambahnya.
MBM menyeru agar kerajaan lebih fokus kepada mencipta peluang pekerjaan baharu, meningkatkan kemahiran belia serta memastikan peralihan tenaga kerja yang seimbang antara generasi dalam pasaran buruh negara.
Cadangan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 65 tahun dibangkitkan semula oleh beberapa pihak sebagai langkah menghadapi penuaan populasi, namun mendapat bantahan daripada pelbagai kumpulan yang bimbang akan kesannya terhadap tenaga kerja muda.