RAFIZI RAMLI UMUM LETAK JAWATAN SEBAGAI MENTERI EKONOMI, BERKUAT KUASA 17 JUN 2025

KUALA LUMPUR, 28 Mei 2025 – Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli hari ini mengumumkan peletakan jawatan beliau daripada Jemaah Menteri, berkuat kuasa 17 Jun 2025. Surat peletakan jawatan telah dihantar secara rasmi kepada YAB Perdana Menteri.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Rafizi menjelaskan bahawa beliau akan menghabiskan baki cuti tahunan beliau sehingga 16 Jun 2025, sebelum peletakan jawatan berkuat kuasa secara rasmi keesokan harinya.

Rafizi menyatakan keputusan ini dibuat susulan kekalahan beliau dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini. Katanya, kekalahan itu membawa maksud beliau tidak lagi memiliki mandat daripada parti untuk meneruskan agenda rakyat di peringkat kerajaan.

“Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat. Kekalahan saya dalam pemilihan PKR baru baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat dari parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan.”

Beliau turut menyentuh prinsip demokrasi sebagai panduan kepada keputusannya:

“Seperti mana amalan di negara-negara yang menitikberat prinsip demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang mengambil tempat di dalam kerajaan.”

Rafizi turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Kementerian Ekonomi atas kerjasama, kecekapan dan komitmen dalam menggubal dasar ekonomi negara. Beliau menzahirkan keyakinan bahawa program reformasi ekonomi yang dirancang akan diteruskan dengan jayanya.

Antara pencapaian penting sepanjang tempoh beliau sebagai Menteri Ekonomi ialah pemuktamadan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang menanti untuk dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang. RMK13 menumpukan kepada reformasi pendidikan dan struktur ekonomi negara.

“Saya berharap Jemaah Menteri tetap mengekalkan beberapa reformasi berani yang melibatkan Kementerian Pendidikan di dalam RMK13, walaupun saya tidak lagi berada di dalam Jemaah Menteri.”

Di akhir kenyataan, Rafizi mengucapkan penghargaan kepada rakyat Malaysia, penjawat awam, pihak swasta, media dan semua pemegang taruh yang pernah berurusan dengannya sepanjang beliau menjawat jawatan Menteri Ekonomi.

“Perjalanan kita untuk merubah struktur ekonomi negara menjadi lebih kukuh dan mencapai status negara berpendapatan tinggi adalah masih jauh. Oleh itu, kita wajar terus mengambil keputusan yang baik untuk jangka panjang, walaupun keputusan itu sukar dan berliku, demi generasi masa hadapan.”

Tamat

Previous Article

Teo Kok Seong Hadiri Taklimat Hal Ehwal Islam Atas Titah Tuanku Muhriz – MAINS Jelaskan Tujuan Kehadiran

Next Article

“Just Let Me Use My Own Money”: Breast Cancer Patient Battles Bureaucracy to Access EPF Funds

Write a Comment

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Subscribe to our Newsletter

Subscribe to our email newsletter to get the latest posts delivered right to your email.
Pure inspiration, zero spam ✨