JAKARTA, 28 Jun 2025 – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa beliau dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, berkongsi matlamat yang sama dalam usaha mencapai keamanan bukan sahaja di antara Israel dan Iran, tetapi juga di seluruh kawasan Timur Tengah.
Dalam satu sidang media bersama yang berlangsung di Istana Merdeka pada Jumaat, Anwar menyambut baik perkembangan terbaharu yang menyaksikan pelaksanaan gencatan senjata sementara antara Israel dan Iran. Namun begitu, beliau menegaskan bahawa Malaysia dan Indonesia tetap mengecam sekeras-kerasnya kekejaman berterusan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Menurut beliau, Malaysia tetap konsisten dalam menentang sebarang bentuk pencerobohan dan pencabulan kedaulatan, termasuk tindakan Israel terhadap Iran, dan menegaskan sokongan terhadap hak Iran untuk mempertahankan diri.
“Apa yang paling utama, seperti yang disebut Presiden Prabowo, adalah kesepakatan kita untuk mencari penyelesaian damai — bukan hanya bagi konflik antara Israel dan Iran, tetapi juga di seluruh wilayah Timur Tengah,” kata Anwar.
Beliau turut menzahirkan harapan agar Palestin akhirnya dapat muncul sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.
Sementara itu, Presiden Prabowo menegaskan komitmen Indonesia untuk terus menyokong penyelesaian damai dalam menangani konflik antarabangsa, termasuk menyambut baik langkah gencatan senjata yang sedang berlangsung antara Israel dan Iran.
“Kami berharap inisiatif ini menjadi langkah permulaan ke arah keamanan berkekalan. Satu-satunya jalan penyelesaian ialah melalui pendekatan dua negara (two-state solution),” ujar beliau.
Prabowo turut menyeru supaya usaha global secara kolektif digembleng bagi mencari penyelesaian aman terhadap konflik yang berpanjangan ini, sambil menegaskan bahawa Indonesia tetap teguh menyokong kemerdekaan rakyat Palestin.
— BERNAMA