KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran, membidas cadangan pembangkang yang mahu memansuhkan peruntukan bagi program kerani berartikel, sambil menegaskan langkah itu hanya akan menafikan peluang golongan kurang berkemampuan untuk memasuki profesion guaman.
Menurut beliau, program yang telah diperkenalkan sejak era 1970-an itu diwujudkan khusus bagi membantu individu yang tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk melanjutkan pengajian di universiti awam atau institusi luar negara, namun tetap berhasrat untuk menjadi peguam.
Kulasegaran berkata demikian ketika menjawab cadangan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN–Besut) yang berpendapat program berkenaan sudah tidak relevan berikutan peningkatan mendadak graduan ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB), dianggarkan mencecah kira-kira 1,000 orang setiap tahun.
“Mungkin Yang Berhormat datang daripada latar belakang berada, mampu ke Universiti Malaya atau ke luar negara. Tetapi bagaimana nasib orang miskin? Adakah mereka tidak layak diberi peluang?
“Adakah kita mahu menjadikan profesion guaman sebagai monopoli golongan tertentu sahaja? Kerajaan Madani memilih untuk berfikir di luar kotak, dan Yang Berhormat sepatutnya memperjuangkan nasib golongan kurang bernasib baik,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Program kerani berartikel merujuk kepada laluan latihan praktikal di firma guaman bagi individu yang tidak mengikuti pengajian undang-undang sepenuh masa, namun memenuhi syarat kelayakan tertentu.
Program ini diperuntukkan oleh Parlimen sebagai sebahagian daripada enam fungsi utama Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LPQB) di bawah Seksyen 5(a), (b) dan (c) Akta Profesion Undang-Undang, yang bertujuan memberi pendedahan sebenar kepada amalan guaman, latihan secara bimbingan oleh peguam kanan, serta menyediakan laluan alternatif untuk menyertai profesion tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Kulasegaran turut memaklumkan bahawa LPQB telah bersetuju menubuhkan pasukan khas bagi meneliti penambahbaikan dan pembangunan kurikulum laluan kerani berartikel supaya ia kekal relevan dan berkualiti.