Perletakan Jawatan YB Rafizi Ramli dan YB Nik Nazmi: Satu Hari Yang Sungguh Menyedihkan- YB Saraswathy Kandasami

28 Mei 2025 – Hari ini merupakan satu hari yang sungguh menyedihkan dalam landskap politik negara apabila dua tokoh utama Parti Keadilan, YB Rafizi Ramli dan YB Nik Nazmi Nik Ahmad, mengumumkan perletakan jawatan mereka sebagai Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam masing-masing.

Sebagai rakan seperjuangan dalam Parti Keadilan Rakyat, saya menzahirkan rasa sedih dan berat hati atas keputusan ini. Walaupun saya tidak tergolong dalam mana-mana “kem” dalam parti, saya sentiasa menghormati setiap pemimpin yang telah menyumbang kepada perjuangan besar parti — sama ada di barisan hadapan atau di sebalik tabir. Kesemua mereka memainkan peranan penting dalam kejayaan parti di peringkat negeri dan seterusnya dalam menawan Putrajaya demi mengangkat agenda reformasi.

YB Rafizi Ramli merupakan seorang tokoh yang saya hormati sejak awal lagi, atas keberaniannya, ketajaman pemikirannya, dan kejelasan visinya dalam memperkenalkan pendekatan baharu dalam politik tanah air. Sumbangannya dalam mendedahkan penyelewengan dan memperjuangkan ketelusan menjadikan beliau simbol keberanian dan kejujuran dalam era politik moden. Walaupun pendekatannya tidak selalu diterima oleh semua, namun sumbangannya terhadap naratif reformasi adalah sangat besar dan tidak harus dinafikan.

Pelantikan beliau sebagai Menteri Ekonomi selepas PRU15 membawa harapan besar kepada rakyat yang mengimpikan satu pendekatan ekonomi yang progresif, berasaskan data dan rasional, serta berpaksikan kepada perubahan struktur.

Saudara YB Nik Nazmi pula bukan sahaja pemimpin yang berprinsip dan konsisten dalam perjuangannya, tetapi juga seorang sahabat yang ikhlas dan menyokong usaha saya dalam pelbagai inisiatif. Saya tidak akan melupakan detik di mana beliau tampil menyokong usaha saya dalam membantu seorang wartawan yang diisytihar muflis dalam isu kepentingan awam. Dalam saat yang mencabar itu, beliau memilih untuk berdiri bersama saya demi keadilan, tatkala ramai yang berdiam diri.

Pengunduran kedua-dua pemimpin berwibawa ini merupakan satu kehilangan besar buat kerajaan dan juga satu momen penuh emosi buat kami sebagai rakan seperjuangan.

Kepada Saudara Rafizi dan Saudara Nik, saya merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas segala jasa, keberanian, dan dedikasi yang telah kalian curahkan. Anda berdua telah mewarnai landskap politik negara dengan cara tersendiri — penuh integriti dan visi.

Saya yakin perjalanan politik kalian tidak terhenti di sini. Suara dan pandangan kalian masih amat diperlukan untuk memastikan bara reformasi terus menyala dalam sanubari rakyat dan anggota parti.

Semoga keputusan ini memberikan ruang untuk ketenangan, refleksi, dan semangat baharu dalam perjuangan akan datang.

Previous Article

Nik Nazmi Letak Jawatan Menteri Selepas Gagal Pertahan Jawatan Naib Presiden PKR

Next Article

Sarawak Leads the Nation with Free Education for All Sarawakians

Write a Comment

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Subscribe to our Newsletter

Subscribe to our email newsletter to get the latest posts delivered right to your email.
Pure inspiration, zero spam ✨