Deklarasi KL Lonjak Peranan ASEAN: Malaysia Tampil Sebagai Pendahulu Suara Global Berkecuali 

 

PETALING JAYA:
Deklarasi Kuala Lumpur dijangka menjadi pemangkin lonjakan peranan ASEAN sebagai sebuah blok serantau yang lebih tegas, berkecuali dan dihormati di peringkat antarabangsa, kata ahli akademik Universiti Malaysia Sabah, Syahruddin Awang Ahmad.

Menurut beliau, deklarasi ini menyerlahkan peranan Malaysia dalam memimpin komuniti ASEAN ke arah masa depan yang lebih strategik, melangkaui aspek ekonomi kepada keselamatan digital, pembangunan lestari dan keseimbangan geopolitik.

“Deklarasi ini membolehkan Malaysia dan ASEAN menyuarakan kepentingan negara membangun secara kolektif dan berprinsip, termasuk dalam isu global seperti perubahan iklim, sekatan ekonomi unilateral dan penolakan terhadap tekanan kuasa besar,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan bahawa Deklarasi KL bakal dilancarkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung dari 26 hingga 27 Mei, dan menjadi rujukan utama hala tuju rantau ini.

Syahruddin turut menyarankan agar dokumen ini memuatkan komitmen terhadap prinsip berkecuali, penolakan campur tangan asing serta penghormatan terhadap kedaulatan negara anggota selaras semangat ZOPFAN dan Triti Keamanan dan Kerjasama ASEAN (TAC).

Sementara itu, Geostrategis Akademi Nusantara, Azmi Hassan menekankan bahawa Deklarasi KL 2025 memperkukuh konsep ‘centrality’ ASEAN – menjadikan ASEAN bukan sekadar pemerhati tetapi penggerak utama isu-isu global.

“Tidak seperti deklarasi sebelum ini yang bersifat dalaman, versi 2025 menunjukkan keberanian ASEAN mengambil peranan lebih menyeluruh di bawah pimpinan Malaysia. Ini tercermin dalam tawaran PM Anwar sebagai pengantara konflik India-Pakistan dan usaha damai di selatan Thailand dan Bangsamoro,” jelas Azmi.

Beliau turut menjangkakan deklarasi itu menyentuh krisis Gaza, perang di Ukraine dan ketegangan AS-China – sebagai isyarat ASEAN bersedia menjadi suara alternatif yang rasional dalam dunia multipolar.

Dalam aspek komunikasi strategik, Syahruddin menyifatkan Deklarasi KL sebagai ‘produk diplomasi’ yang meletakkan ASEAN sebagai komuniti matang yang memperjuangkan keadilan, hak asasi dan keselamatan serantau.

Antara elemen yang dijangka dimuatkan:

  • Inisiatif transformasi digital serantau
  • Perkongsian maklumat keselamatan rentas sempadan
  • Kerjasama ekonomi hijau
  • Tadbir urus digital berasaskan hak asasi
  • Pembaharuan institusi ASEAN untuk ketangkasan membuat keputusan

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur dijangka menghimpunkan semua pemimpin tertinggi 10 negara anggota serta pemerhati antarabangsa, memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pendorong suara Asia Tenggara di pentas dunia.

Previous Article

Ular Menyusur Akar, Bisa Tak Hilang: Rafizi Masih Relevan Walau Tewas

Next Article

KERJASAMA RANTAU UNTUK MASA DEPAN GLOBAL: Duta EU Seru ASEAN Perkukuh Hubungan Demi Dunia Lebih Stabil

Write a Comment

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Subscribe to our Newsletter

Subscribe to our email newsletter to get the latest posts delivered right to your email.
Pure inspiration, zero spam ✨