KUALA LUMPUR, 26 Mei – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kolektif ASEAN dijangka meningkat kepada 4.7% pada tahun 2025, berbanding 4.2% pada tahun sebelumnya.
Menurut beliau, jangkaan ini disokong oleh eksport yang kukuh serta peningkatan perbelanjaan modal awam yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serantau yang lebih mampan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-25 yang berlangsung bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di ibu negara hari ini.
Tengku Zafrul turut memaklumkan kadar inflasi di rantau ini dijangka berada pada paras sekitar 3%.
“Terdapat perbincangan dan pembentangan oleh Sekretariat ASEAN mengenai jangkaan ekonomi serantau bagi tahun 2024 dan 2025. Unjuran semasa bagi pertumbuhan KDNK ASEAN adalah 4.7% dan kadar inflasi dijangka sekitar 3%,” katanya.
Beliau menambah, kadar pertumbuhan serantau ini adalah lebih tinggi daripada purata pertumbuhan global, mencerminkan daya tahan ekonomi ASEAN yang terus berkembang walaupun berdepan cabaran global.
Mesyuarat Majlis AEC ke-25 yang dihadiri menteri-menteri ekonomi dari negara-negara anggota ASEAN membincangkan pelbagai inisiatif strategik bagi memperkukuh integrasi ekonomi serantau, termasuk pembangunan infrastruktur, pelaburan silang sempadan dan inovasi teknologi.