GAZA, 26 Mei — Hamas hari ini menegaskan bahawa bantuan kemanusiaan yang dibenarkan masuk ke Semenanjung Gaza sejak beberapa hari lalu hanyalah bersifat simbolik dan jauh daripada mencukupi, dengan hanya merangkumi sejumlah kecil ubat-ubatan dan tepung gandum. Ketika itu, lebih 90% kedai roti di wilayah itu masih disekat daripada beroperasi oleh pihak rejim Israel.
Dalam kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Pejabat Media Kerajaan Gaza yang dikendalikan Hamas, mereka menyifatkan naratif disebarkan Israel bahawa bantuan telah mula dibenarkan masuk sebagai “mengelirukan dan bersifat propaganda”.
“Sepanjang 84 hari sekatan dan penutupan, sekurang-kurangnya 46,200 trak membawa bantuan dan bahan api sepatutnya dibenarkan masuk ke Gaza bagi memenuhi keperluan minimum penduduk. Namun, hanya kira-kira 100 trak yang benar-benar masuk — kurang daripada 1% daripada jumlah sebenar yang diperlukan,” kata kenyataan itu, memetik laporan agensi berita Xinhua.
Sementara itu, gambar dari Deir al-Balah menunjukkan penduduk Palestin beratur panjang dan membakar roti secara terbuka selepas Program Makanan Sedunia menerima bekalan tepung gandum buat pertama kali dalam sebulan — bantuan yang hanya cukup untuk menyokong operasi sebahagian kecil kedai roti.
Israel sebelum ini mengumumkan akan menarik balik sekatan selama hampir tiga bulan dan membenarkan kemasukan bantuan terhad ke wilayah yang terkepung itu. Namun, realitinya di lapangan menunjukkan bantuan yang masuk terlalu kecil dan tidak mampu menampung keperluan asas hampir 2.3 juta penduduk Gaza.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres turut mengulas pada Jumaat lalu bahawa bantuan kemanusiaan yang dibenarkan masuk setakat ini hanyalah “setitis air” tatkala Gaza sebenarnya memerlukan “limpahan bantuan” untuk mengelakkan kebuluran dan krisis kemanusiaan yang lebih teruk.
Hamas menggesa masyarakat antarabangsa, agensi kemanusiaan dan negara-negara serantau untuk menekan Israel agar menghentikan sekatan secara menyeluruh serta membenarkan bantuan yang mencukupi masuk bagi menyelamatkan nyawa ribuan penduduk yang kini hidup dalam keadaan terputus bekalan makanan, perubatan dan kemudahan asas.