PETALING JAYA: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg memuji hasil kajian bersama antara Petronas dan sebuah syarikat dari Jepun yang berjaya mengurangkan penggunaan tenaga dalam pengeluaran hidrogen negeri itu secara signifikan.
Menurut laporan Borneo Post, penggunaan teknologi membran baharu telah berjaya mengurangkan penggunaan tenaga daripada 60kWh/kg kepada hanya 30kWh/kg.
“Kajian ini bukan sahaja menjimatkan tenaga tetapi juga membantu Sarawak memenuhi piawaian alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG),” kata Abang Johari.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa penggunaan tenaga boleh terus dikurangkan kepada hanya 10kWh/kg menerusi kerjasama strategik berterusan bersama Siemens Energy dari Jerman.
“Kita sedang bergerak ke arah penghasilan hidrogen bersih,” tegas beliau.
Abang Johari menegaskan bahawa pembangunan tenaga bersih bukan sahaja memberi manfaat kepada Sarawak, tetapi turut menyumbang secara signifikan kepada usaha Malaysia mewujudkan dunia yang lebih lestari dan mesra alam.
Pada Februari lalu, media melaporkan bahawa Sarawak menyasarkan untuk menjadi hab hidrogen hijau ASEAN, dengan memanfaatkan sumber tenaga hidro semula jadi dan kerjasama antarabangsa dalam membangunkan rantaian bekalan hidrogen karbon rendah.